Fokus beribadah, perkukuh kefahaman rohani




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said






BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Februari. - Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam (PSW) pagi tadi menganjurkan sesi Tazkirah Ramadan bertemakan 'Adakah Amalan Ku Diterima?' bertempat di Masjid Ash-Shaliheen, Jalan Perdana Menteri, di sini.


Majlis tersebut bertujuan untuk menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan serta memperkukuh kefahaman rohani para jemaah melalui perkongsian ilmu, muhasabah diri dan pengisian keagamaan.


Bagi menyerikan majlis, tazkirah disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Noorizah binti Haji Abidin.


Antara inti pati tazkirah menekankan bahawa di bulan Ramadan ini adalah peluang yang amat besar bagi umat Islam untuk meminta pengampunan serta rahmat Allah Subhanahu Wata'ala kerana di dalam bulan ini segala amal ibadat dan kebajikan akan dilipat gandakan pahala serta keberkatannya oleh Allah Subhanahu Wata'ala.


Adalah juga diingatkan bahawa apabila datangnya bulan Ramadan ini, kita hendaklah mengurangkan segala kesibukan dan kelalaian kita yang sia-sia dan lebih fokus kepada beribadat, muhasabah diri serta memperbaiki diri, ini termasuk melaksanakan kewajipan seperti menunaikan solat, membaca Al-Quran, menutup aurat dan memelihara diri daripada melakukan perkara maksiat dan segala kemungkaran semata-mata untuk mendapatkan ganjaran istimewa dari Allah Subhanahu Wata'ala.


Justeru, 'Adakah Amalan Ku Diterima?' Dayang Noorizah menjelaskan tidak ada sesiapa pun yang akan mengetahui jika sekiranya amalan kita diterima Allah Subhanahu Wata'ala ataupun tidak, melainkan Allah Yang Maha Esa Yang Maha Mengetahui.


Namun antara tanda amalan kita diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala ialah seseorang itu tidak akan kembali kepada melakukan maksiat, Allah Subhanahu Wata'ala akan memalingkannya daripada melakukan maksiat.


Sebagaimana Al-Imam Ibn al-Qayyim berpesan di dalam kitab Madarij al-Salikin: “Adapun sekiranya seseorang itu (setelah melakukan ibadah) masih merasa seronok dengan dosa, ketahuilah bahawa ia adalah (tanda-tanda) amalan tidak diterima sekalipun dia melakukan amal kebajikan selama 40 tahun".


Selain itu, amal kebaikannya seharusnya menghasilkan kebaikan yang lain dan seseorang muslim itu istiqamah dalam melakukan amal soleh dan kebaikan secara berterusan.


Menurut hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bahawa permulaan bulan Ramadan membawa kerahmatan, pertengahannya keampunan dan kesudahannya dibebaskan daripada api neraka.


Maka para wanita muslim dianjurkan untuk sama-sama merebut kesempatan ini dengan sewajarnya bagi meraih keberkatan Ramadan itu bagi memohon keampunan dan rahmat, semata-mata untuk mendapatkan ganjaran istimewa yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.


Selaras dengan objektif majlis, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Tidaklah duduk suatu kaum, kemudian mereka berzikir kepada Allah 'Azza wa Jalla dalam duduknya hingga mereka berdiri, melainkan dikatakan (oleh malaikat) kepada mereka: Berdirilah kalian, sesungguhnya Allah telah mengampuni dosa-dosa kalian dan keburukan-keburukan kalian pun telah diganti dengan berbagai kebaikan". (Riwayat ath-Thabrani; disahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami').


Hadith ini menjadi penguat semangat kepada para jemaah bahawa setiap majlis ilmu dan zikir merupakan peluang besar untuk memperoleh keampunan serta rahmat Allah Subhanahu Wata'ala, sejajar dengan matlamat penganjuran majlis ini dalam menyuburkan keinsafan dan mempertingkatkan kualiti amalan sepanjang bulan Ramadan.


Pengisian majlis bermula dengan kehadiran para muslimah yang terdiri daripada ahli-ahli PSW, sebahagian ahli-ahli persatuan-persatuan di bawah Majlis Wanita, persatuan para muslimah masjid-masjid dan individu yang dijemput.


Seterusnya penyampaian tazkirah dan soal jawab dan kemudian diteruskan dengan Bacaan Surah Yaa Siin, Ratib Al Attas dan bacaan Tahlil yang dipimpin oleh ustazah-ustazah daripada Persatuan Siswazah Wanita.


Majlis turut diselajurkan dengan Solat Fardu Zuhur Berjemaah.


Majlis ini telah menghimpunkan ahli-ahli PSW serta masyarakat umum, sekali gus menjadi platform untuk mempererat silaturahim dan menyuburkan nilai keinsafan dalam kalangan peserta, khususnya dalam merefleksi penerimaan amalan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.


PSW Negara Brunei Darussalam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Masjid Ash-Shaliheen, penceramah jemputan, para jemputan serta semua jemaah yang hadir dan menyokong penganjuran majlis ini.


Diharapkan program seumpama ini akan terus menjadi medium dakwah dan pembangunan rohani yang berterusan demi kesejahteraan ummah.


Majlis Tazkirah Ramadan ini akan diteruskan pada setiap hari Ahad sepanjang bulan Ramadan, pada masa dan tempat yang sama, sebagai kesinambungan usaha memperkukuh penghayatan rohani dalam kalangan masyarakat.


Close